Lot 15972, Jalan Impian Murni 3/4, Saujana Impian,
43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan.

Ahad, 20 Disember 2015

Projek Menaiktaraf SRF 2015

ICU (Implementation Coordination Unit), Prime Minister's Depertment atau Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri telah menyiapkan Projek Kecil Persekutuan di SRF (Surau Raudhatul Firdaus) untuk tahun 2015.

Nama Kontraktor: Desa Bangi Enterprise.
Sijil Pendaftaran: 001036221-P.
Nama Projek: Menaiktaraf Surau Raudhatul Firdaus, Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.
Tarikh Mula: 17 September 2015.
Tarikh Siap: 10 Disember 2015.

Isnin, 23 November 2015

Kem Motivasi dan Hafazan Juz' Amma 2015

Tarikh hari ini ialah 11 Safar 1437 bersamaan dengan hari Isnin, 23 November 2015. Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor mula mengadakan Program Cuti Sekolah 2015, Kem Motivasi dan Hafazan Juz' Amma, Sekolah Rendah di SRF.

Program ini dikendalikan oleh Imam SRF iaitu Ustaz Herizal bin Saifullah. Tempoh kem ini bermula hari ini hingga hari Jumaat, 4 Disember 2015 (22 Safar 1437). Masa diadakan program ialah mulai jam 10:00 pagi sehingga 1:30 petang. Murid-murid sekolah rendah yang menyertai kem akan solat Zohor secara berjemaah di SRF sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Rabu, 14 Oktober 2015

Ceramah Khas Sempena Sambutan Ma'al Hijrah 1437

Tarikh hari ini ialah 1 Muharram 1437 Hijrah bersamaan dengan hari Rabu, 14 Oktober 2015. Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor telah mengadakan Sambutan Ma'al Hijrah 1437. Sejak tengah hari lagi, kaum muslimat telah mula memasak makanan untuk jamuan makan malam ini.

Selepas solat Maghrib berjemaah, program dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengacara majlis dan ucapan pengerusi surau. Jemaah surau sama-sama berdiri dan bernasyid Tola'al Badru A'laina. Majlis diteruskan dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Ustaz Yusri bin Che Md Jusoh. Tema sambutan ialah 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'.

Apabila Ceramah Khas tamat, ahli-ahli SRF solat Isyak secara berjemaah dan menikmati jamuan yang disediakan sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Selasa, 29 September 2015

Mesyuarat Agung SRF Kali Kedua

Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor telah mengadakan Mesyuarat Agung Kali Kedua pada malam ini (Selasa, 29 September 2015) jam 9:00 malam hingga 10:20 malam di ruang solat dalam surau.

Ahli-ahli jawatankuasa SRF sesi 2014/ 2016 dikekalkan perkhidmatan mereka sehingga tahun 2016 kerana mesyuarat agung kali ini tiada pemilihan jawatankuasa. Ini bermakna ahli-ahli jawatankuasa SRF yang lalu merupakan ahli-ahli jawatankuasa SRF yang sama sebab masih ada tempoh setahun lagi untuk pemilihan jawatankuasa baharu.

  1. Ustaz Hussain bin Abdul Wahab (Pengerusi)
  2. Ustaz Abdullah bin Hussain (Naib Pengerusi)
  3. Ustaz  Norjeehan bin Ahmad Mustapa (Setiausaha)
  4. Encik Mohd Roslan bin Daud (Naib Setiausaha)
  5. Encik Mohd Nizam bin Osman (Bendahari)
  6. Tuan Haji Bakhrojin bin Majid (Naib Bendahari)
  7. Encik Mazlan bin Ibrahim (Wakil Pemuda)
  8. Puan Ummy Zalynna binti Abd Rahman (Wakil Pemudi)
  9. Ustaz Wan Abdul Hamiluddin bin Abd Kadir (Pemeriksa Kira-kira 1)
  10. Tuan Haji Abdul Halim bin Abdul Wahab (Pemeriksa Kira-kira 2)
  11. Encik Zaid bin Harun (Ahli Jawatankuasa)
  12. Encik Azmi bin Abd Wahab (Ahli Jawatankuasa)
  13. Encik Aizam bin Saberi (Ahli Jawatankuasa)
  14. Ustaz Mohd Zuki bin Mat Zin (Ahli Jawatankuasa)
  15. Encik Mohd Farouk bin Baharim (Ahli Jawatankuasa)
  16. Encik Arnizam bin Zakaria (Ahli Jawatankuasa)   
  17. Encik Nik Muhammad Faris bin Mohd Rasidi (Ahli Jawatankuasa)

Khamis, 24 September 2015

Solat Sunat Aidiladha dan Ibadat Korban 2015

Tarikh hari ini ialah 10 Zulhijjah 1436 Hijrah bersamaan dengan hari Khamis, 24 September 2015.

Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor telah mengadakan aktiviti Solat Sunat Aidiladha dan Ibadat Korban di SRF. Ia merupakan aktiviti korban tahun kedua diadakan di sini sejak surau mula beroperasi pada hari Ahad, 22 Jun 2014.

Beberapa ekor lembu dan kambing/ biri-biri telah dikorbankan pada tahun ini di SRF sempena Hari Raya Korban 1436.

Jumaat, 18 September 2015

Solat Jumaat Kali Ke-25 di SRF

Hari ini ialah hari Jumaat, 4 Zulhijjah 1436 bersamaan dengan 18 September 2015. Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor telah mengadakan Solat Jumaat Kali Ke-25 di SRF.
 

Pihak SRF telah mengadakan Solat Jumaat Kali Pertama pada 3 April 2015 (13 Jamadil Akhir 1436).

Antara isi khutbah yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan disampaikan oleh Ustaz Norjeehan bin Ahmad Mustapa pada Solat Jumaat Kali Ke-25 ini adalah seperti berikut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Pada kesempatan yang mulia ini, di tempat yang mulia dan di hari yang mulia ini, marilah kita sentiasa menjaga dan meningkatkan prestasi keimanan dan kualiti ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benarnya iaitu ketakwaan yang dibangun kerana mengharap keredhaan Allah S.W.T. dan bukan keredhaan manusia, ketakwaan yang dilandasi kerana ilmu yang bersumber daripada al-Qur`an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan ketakwaan yang dibuktikan dengan amal perbuatan dengan cara menjalankan setiap perintah Allah dan Nabi-Nya kerana mengharap rahmat Allah S.W.T. serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan setiap bentuk larangan Allah dan Nabi-Nya kerana takut menghadapi azab dan siksa Allah S.W.T.
 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah sama-sama kita menghayati khutbah hari ini yang bertajuk “BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH”.
 

Sejarah manusia bermula dengan kesatuan. Keluarga Adam a.s. adalah penganut agama samawi yang berasaskan ajaran tauhid dan kepatuhan yang utuh kepada Allah S.W.T. Konflik perpecahan manusia bermula dengan terjadinya konflik Habil dan Qabil yang berpunca daripada sikap hasad dan curang demi merebut kepentingan duniawi. Itulah hakikat sejarah perpecahan manusia yang dicetuskan dengan motif perasaan cintakan dunia sehingga manusia gagal mengawal dan mengendali diri daripada dikuasai oleh nafsu, hasad dan tamak lalu menolak kebenaran.
 

Untuk menangani perpecahan di kalangan manusia, para rasul diutus bersama kitab daripada Allah S.W.T. Misi utama para rasul adalah menyelesaikan konflik di kalangan manusia. Para rasul menyatukan manusia dengan mengajak mereka kepada kesatuan aqidah, kesatuan syariat, kesatuan nilai akhlak mulia dan amal soleh.

Ahad, 23 Ogos 2015

Program NAZIM Merdeka 2015

Tarikh hari ini ialah 8 Zulkaedah 1436 Hijrah bersamaan dengan hari Ahad, 23 Ogos 2015.

Aktiviti untuk Kelab Anak-anak Hebat/ Nadi al-Azim (NAZIM) Merdeka diadakan mulai jam 7:30 pagi hingga 12:00 tengah hari di Surau Raudhatul Firdaus (SRF) pada hari ini.

Program ini dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kajang dengan kerjasama SRF.

Tahniah diucapkan kepada pihak ISMA, NAZIM dan SRF kerana mengadakan program yang bermanfaat pada hujung minggu kali ini.