Lot 15972, Jalan Impian Murni 3/4, Saujana Impian,
43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan.

Jumaat, 26 Februari 2016

Solat Jumaat Kali Ke-48 di SRF

Hari ini ialah hari Jumaat, 17 Jamadil Awwal 1437 bersamaan dengan 26 Februari 2016. Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor telah mengadakan Solat Jumaat Kali Ke-48 di SRF.

Pihak SRF telah mengadakan Solat Jumaat Kali Pertama pada 3 April 2015 (13 Jamadil Akhir 1436).

Antara isi khutbah yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan disampaikan oleh Ustaz Norjeehan bin Ahmad Mustapa pada Solat Jumaat Kali Ke-48 ini adalah seperti berikut.

Sidang Jumaat yang yang dirahmati Allah sekalian. Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru muslimin yang dikasihi sekalian, marilah kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. dengan mematuhi dan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi setiap larangan-Nya. Semoga kita sentiasa berada di landasan akidah yang betul dan tidak terpaut dengan golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Mimbar Jumaat pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk “FAHAMAN LIBERAL PEROSAK AKIDAH”.

Hadirin yang dirahmati Allah S.W.T. sekalian. Liberalisme adalah satu fahaman yang menuntut kebebasan berfikir tanpa batasan dan menolak prinsip kebenaran agama Islam serta mengambil jalan mudah dalam beragama.

Melalui fahaman liberal ini, pemikiran umat Islam diadun dengan acuan kebebasan tanpa batasan iaitu bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan, kongkongan atau diskriminasi yang dianggap sebagai kebebasan asasi. Sekiranya disekat, dihalang atau didakwa, maka golongan ini dengan pantas mencanang satu dunia bahawa hak kebebasan mereka telah dicabuli.