Hari ini ialah hari Jumaat, 4 Zulhijjah 1436 bersamaan dengan 18 September 2015. Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian,
Kajang,
Selangor telah mengadakan Solat Jumaat Kali Ke-25 di SRF.
Pihak SRF telah mengadakan Solat Jumaat Kali Pertama pada 3 April 2015 (13 Jamadil Akhir 1436).
Antara isi khutbah yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan disampaikan oleh Ustaz Norjeehan bin Ahmad Mustapa pada Solat Jumaat Kali Ke-25 ini adalah seperti berikut.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Pada kesempatan yang mulia ini, di tempat yang mulia dan di hari yang mulia ini, marilah kita sentiasa menjaga dan meningkatkan prestasi keimanan dan kualiti ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benarnya iaitu ketakwaan yang dibangun kerana mengharap keredhaan Allah S.W.T. dan bukan keredhaan manusia, ketakwaan yang dilandasi kerana ilmu yang bersumber daripada al-Qur`an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan ketakwaan yang dibuktikan dengan amal perbuatan dengan cara menjalankan setiap perintah Allah dan Nabi-Nya kerana mengharap rahmat Allah S.W.T. serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan setiap bentuk larangan Allah dan Nabi-Nya kerana takut menghadapi azab dan siksa Allah S.W.T.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah sama-sama kita menghayati khutbah hari ini yang bertajuk “BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH”.
Sejarah manusia bermula dengan kesatuan. Keluarga Adam a.s. adalah penganut agama samawi yang berasaskan ajaran tauhid dan kepatuhan yang utuh kepada Allah S.W.T. Konflik perpecahan manusia bermula dengan terjadinya konflik Habil dan Qabil yang berpunca daripada sikap hasad dan curang demi merebut kepentingan duniawi. Itulah hakikat sejarah perpecahan manusia yang dicetuskan dengan motif perasaan cintakan dunia sehingga manusia gagal mengawal dan mengendali diri daripada dikuasai oleh nafsu, hasad dan tamak lalu menolak kebenaran.
Untuk menangani perpecahan di kalangan manusia, para rasul diutus bersama kitab daripada Allah S.W.T. Misi utama para rasul adalah menyelesaikan konflik di kalangan manusia. Para rasul menyatukan manusia dengan mengajak mereka kepada kesatuan aqidah, kesatuan syariat, kesatuan nilai akhlak mulia dan amal soleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan