Hari ini ialah hari Jumaat, 19 Rabiu'l Akhir 1437 bersamaan dengan 29 Januari 2016. Pihak Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor telah mengadakan Solat Jumaat Kali Ke-44 di SRF.
Pihak SRF telah mengadakan Solat Jumaat Kali Pertama pada 3 April 2015 (13 Jamadil Akhir 1436).
Antara isi khutbah yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan disampaikan oleh Ustaz Norjeehan bin Ahmad Mustapa pada Solat Jumaat Kali Ke-44 ini adalah seperti berikut.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian marilah
sama-sama kita meningkatkan darjat ketakwaan kepada Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh, melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya.
Mimbar Jumaat pada hari ini ingin mengajak jemaah untuk menghayati
khutbah yang bertajuk “BAGAI KETAM MENGAJAR ANAKNYA
BERJALAN BETUL ”.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Ibu bapa merupakan agen pembentukan peribadi mulia anak-anak.
Amat membimbangkan kita remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah
sosial yang telah mencetuskan isu polemik dalam media massa yang saban
hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal
ini?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Tugas ibu bapa ialah tugas profesional yang perlu digarap dengan
ilmu, kemahiran dan sikap yang baik. Seseorang tidak boleh dianggap
sebagai guru sekiranya dia tidak mempunyai kelulusan dan kemahiran
dalam bidang perguruan. Maka begitulah juga ibu bapa, tidak boleh
dianggap sebagai ibu bapa yang sempurna sekiranya dia gagal mempunyai
ilmu, kemahiran dan sikap yang seiring dengan perkembangan semasa yang
bertepatan dengan kehendak al-Qur'an dan as-Sunnah.